Latar belakang Azharina

Azharina Azhar dilahirkan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah. Dibesarkan di dalam keluarga seni oleh bapanya Azhar bin Datuk Hj M.Y. Ahmad dan ibunya Azizah Ibrahim. Datuk Azharina ialah Datuk Hj M.Y. Ibrahim. Beliau lebih mesra dipanggil dengan nama timangan Nina, bersekolah di SM Stella Maris, Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah sehingga tamat PMR. Beliau sangat aktif bersukan di sekolah dengan menyertai pasukan Bolasepak, Hoki dan Tinju.
Beliau menjauhkan diri dari bidang seni selama setahun setengah selepas menjadi Juara Bintang RTM 2001 untuk fokus pada pelajaran dan menduduki peperiksaan SPM di salah sebuah sekolah di Kuala Lumpur. Apabila keputusan SPM diumumkan, Azharina mendapat kelulusan yang cemerlang sehingga ditawarkan biasiswa oleh Kerajaan Sabah untuk melanjutkan pengajian di New York University dalam bidang muzik. Tetapi Azharina terpaksa menolak kerana harus bekerja untuk menyara tiga adiknya dan ibu, Azizah Ibrahim yang sudah bercerai dengan ayahnya. Tetapi kini alhamdulillah adik beliau sudah bekerja dan ibu juga sudah berkahwin lain.
Azharina mula menyanyi pada umur 3 tahun. Beliau mula menyertai pertandingan nyanyian sejak umur 5 tahun dan setakat tahun 2017, telah menyertai 108 pertandingan.[1]